http://2.bp.blogspot.com/_NGLN8-IACTs/SijSRbw-RKI/AAAAAAAAPTg/p_dhS5RrDLk/s1600/blue1.gif



“Assalamu ‘alaikum wa rahmatullahi wabarakatuh”

apa khabar iman antum pada hari ini ?
apa khabar hati antum pada hari ini ?
tanya diri muhasabah diri..



Thursday, February 4, 2010

Kisah Tarbiyah Dari Kem Hafazan 2009 1

Iqra memulakan harinya dengan azam yang baru. Tatkala dirinya kini telah bergelar ketua fasi untuk Kem Hafazan 2009 di Surau Al-Firdaus di Serdang, Iqra memanjatkan pohonan doa dan harapan agar dirinya mampu untuk melakukan tugas dengan penuh semangat dan dedikasi. Iqra selalunya berada dalam dakwah kampus dan sekolah, dan kini dia mengambil peluang untuk bekerja sementara menunggu untuk menyambung pengajiannya dalam Master.

Pada mulanya, Iqra hanya ingin mencari ilmu dan pengalaman dalam penganjuran program yang berkaitan dengan Al-Quran, tetapi ternyata Allah memilihnya untuk menggalas tugasan yang lebih berat lagi. Tak tersangka, pagi pertama Kem Hafazan bermula menyediakan satu bab yang baru bagi kisah tarbiyah untuk Iqra. Dan kini, selepas 4 hari bersama-sama, Iqra percaya bahawa Allah S.W.T telah mengaturkan segala-galanya dan dia perlulah terus berusaha merealisasikan cita-citanya menjadi antara yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya.

"Assalamua'alaikum w.b.t. adik-adik semua". Iqra memberi salam kepada adik-adik perempuan yang berusia antara 6 tahun hingga 15 tahun. Wajah-wajah berseri yang mempunyai hati yang bersih, bakal menjadi mujahidah-mujahidah kecil yang berjuang untuk mempunyai Al-Quran di dalam dada.

"Wa'alaikum salam w.b.t". Jawab adik-adik hafizah dengan lesu.

'SubhanaAllah, semoga Kau berikan nikmat kekuatan dan ilmu pengetahuan kepada diri dan adik-adik ini semua.' Doa Iqra di dalam hati, tatkala salam yang diberi tidak disambut dengan ceria. Mungkin adik-adik ini masih lagi dalam belenggu keterpaksaan dek kerana memenuhi pilihan ibu-bapa untuk meghabiskan cuti sekolah dengan menghafal ayat-ayat kalam Allah dan bukannya menonton televisyen dan sebagainya. Namun begitu, selepas 4 hari bersama, harapan Iqra agar adik-adik ini dapat membetulkan niat mereka kembali kenapa mereka datang ke kem hafazan.

"MasyaAllah, perlahannya... Ustazah nak antunna semua jawab dengan semangat."

Salam diberikan dengan lebih kuat namun keikhlasan masih tidak terzahir buat diri Iqra. Seharusnya, hari perlu dimulakan dengan semangat yang baru dan azam yang baru. Hati dan minda ligat mencari kata-kata untuk memberi motivasi pada semua.

"Kita mulakan dengan umul kitab, Al-Fatihah." Iqra memulakan majlis.

"Baiklah, seperti biasa ana nak seorang yang akan 'conduct' perhimpunan di hadapan. Baiklah, silakan wani." Ujar Iqra kepada adik-adik hafizah.

Perhimpunan dimulakan dengan asmaul husna, diikuti dengan lagu nama-nama surah, senaman ringan, doa sebelum menghafal Al-Quran dan juga zikir. Sebelum bergerak ke surau, adik-adik diberi peringatan oleh kakak-kakak fasi yang lain. Selepas itu, majlis diserahkan kembali kepada Iqra untuk memberi sedikit peringatan.

"Baiklah, ustazah dapat rasakan yang antunna semua tak bersemangat hari ini. Tak makan nasi lagi ke? Tapi takpe. Semua... ustazah minta tutup mata. Betulkan niat kenapa kita datang ke kem ni. Kita nak menghafal Al-Quran. Untuk mempunyai kalimah-kalimah Allah di dalam diri. Hati-hati yang mempunyai Al-Quran adalah hati-hati yang bersih dan sangat dekat dengan Allah. Adik-adik sayangkan Allah tak?" Tanya Iqra kepada adik-adik hafizah.

"Sayang...." Jawab mereka dengan nada yang perlahan.

"Hmm...Ustazah tak dengar. Sayang Allah tak?" Tanya Iqra sekali lagi.

"Sayang...." Jawab mereka dengan lebih kuat.

"Alhamdulillah. Baiklah semua, dengan lafaz bismillah, semua bergerak ke surau dengan tenang dan senyap. Terus masuk ke dalam kumpulan masing-masing dan bolehlah mulakan hafalan." Iqra memberi arahan kepada semua peserta.

Iqra mencapai beg galasnya yang berat yang berisi buku dan fail dan bergerak bersama-sama adik-adik hafizah dari kelas ke surau. Selama dua hari yang lepas, hujan turun pada waktu pagi dan perhimpunan terpaksa dijalankan di dalam kelas. Dalam kesejukan pada waktu pagi yang indah itu, Iqra, para fasi dan adik-adik hafizah mengatur langkah meredah hujan yang rintik-rintik. Hati Iqra berbisik penuh harap pada Allah agar hari yang dilalui adalah lebih baik dari semalam.

Adik-adik hafizah telah dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu yang akan menghafal dari Surah An-Nas hingga Ad-Dhuha, Surah Al-Lail hingga An-Naba' dan surah-surah pilihan (Luqman, Al-Mulk, Yassin dan Al-Waqiah). Setiap kumpulan terdapat seorang fasi sebagai pentasmi' bacaan hafalan yang akan mendengar dan membetulkan bacaan para peserta. Iqra ditugaskan untuk menjaga satu kumpulan yang terdiri dari adik-adik yang akan menghafal surah Al-Lail hingga An-Naba'. Secara jujurnya, Iqra masih belum habis menghafal Juz ke-30; dirinya sendiri dalam proses menghafal Al-Quran secara sendiri tanpa bantuan orang lain. Selain itu, Iqra hanya menghafal beberapa surah pilihan yang selalu dibaca seperti surah As-Sajdah. Ternyata penyertaannya sebagai fasi di dalam Kem Hafazan ini meningkatkan semangatnya untuk terus bermujadah mencari ilmu Al-Quran dan menghafal kalimah-kalimah Allah yang tinggi ini.

Iqra mencapai rehal dan duduk di dalam halaqah bersama-sama adik-adik hafizah didikannya. Senyuman yang terpancar dari wajah-wajah ceria adik-adik hafizah menjadi dambaan hati Iqra yang kesunyian. Tatkala dirinya terasa sangat bahagia berada dalam linkungan yang sangat solehah, bersama alunan-alunan ayat-ayat cinta Allah yang berkumandang di sekitar Surau Al-Firdaus. Ayat-ayat yang sentiasa menjadi peneman dirinya dan semua sahabat yang lain. MasyaAllah, terlalu indah sehingga tidak digambarkan dengan kata-kata.

"Assalamua'alaikum semua. Apa khabar?" Pertanyaan Iqra memulakan bicara.

"Wa'alaikumsalam ustazah. Baik.." Jawab adik- adik hafizah semua. Iqra pada mulanya agak kekok digelar sebagai ustazah kerana Iqra bukanlah seorang ustazah dalam erti kata sebenar. Dirinya hanyalah seorang perempuan biasa bersama cita-cita untuk menyampaikan ilmu dan mencari permata pahala buat tukaran nikmat di syurga juga cita-citanya untuk menatap wajah Allah yang sentiasa dicari. Bersama-sama sedikit ilmu dari segi tajwid dan motivasi diri. Dan kini, Allah mentakdir dirinya bersama adik-adik hafizah bermujadah untuk sama-sama menghafal Al-Quran. Semoga kita sama-sama meneruskan perjuangan ini, wahai para mujahidah kecil.

"Alhamdulillah. Hari ini kita akan teruskan dengan hafalan seterusnya. Sekiranya terdapat apa-apa masalah, tanya pada ustazah, ok?" ujar Iqra.

"Ok." jawab adik-adik Hafizah.

"Baiklah. Dengan lafaz Bismillah, mulakan hafalan." Iqra memberi arahan pada adik-adik hafizah. Iqra tersenyum melihat mereka semua yang masih tegar meneruskan perjuangan. Terdapat banyak gelagat yang ditunjukkan. Dalam menghafal Al-Quran, terdapat bermacam-macam cara dan kaedah. Dalam kem ini, peserta dianjurkan untuk menulis ayat yang hendak dihafal, dibaca sehingga lancar dan mengulang sehingga 60 kali atau kurang daripada bilangan tersebut. Selepas berjaya, diteruskan dengan menggunakan proses yang sama sehingga ayat ke-5. Selepas itu, ulang kelima-lima sekaligus untuk beberapa kali. Sesetengah peserta tidak lagi mengunakan method ini, sebaliknya membaca sehingga beberapa kali sahaja sehingga hafal dengan lancar. Ternyata adik-adik hafizah sangat cepat dalam menghafal. Baru sahaja hari ke-4, sudah ada yang habis sehingga ke surah Abasa. Mengenangkan Al-Quran yang hanya boleh berada dalam hati-hati yang bersih sahaja..... Iqra berdoa agar Allah mengurniakan ilmu pengetahuan kepadanya. Cahaya Al-Quran yang menjadi dambaan diri.... Semoga cita-cita itu tercapai. Ameen...ameen...ameen..

"Ustazah?" Iqra memandang muka Allysa yang comel memakai tudung hitam.

"Ya, saya."

"Boleh tak ustazah bacakan surah Al-Fajr untuk saya?" Pinta Allysa. Iqra tersenyum apabila mendapat permintaan untuk membaca surah kegemarannya dan dia memandang tepat pada mata Allysa. Dia tahu bahawa adik Allysa agak sukar untuk menghafal surah ini dan terdapat beberapa kesalahan dari segi tajwid yang perlu dititik beratkan.

"Baiklah. Tapi Allysa kena semak bacaan ustazah, ya?" Ujar Iqra. Allysa mengangguk sambil tersenyum.

Dengan dimulakan dengan isti'azah dan basmallah, Iqra memperdengarkan surah Al-Fajr diiringi dengan tajwid dan penghayatan. Alunan yang digunakan hampir menyamai Sheikh kegemarannya; Sheikh Saad Al-Ghamidi. Harapan dan doa disertakan agar bacaannya menyentuh hati-hati semua yang mendengarnya. Tatkala hanya ini yang mampu untuk dirinya lakukan untuk mencapai cita-cita itu. Impiannya untuk menjejak ke syurga yang sentiasa bersemi dalam hati Iqra.

Iqra sendiri memberi cadangan; jika adik-adik hafizah perlukan dirinya untuk membacakan Al-Quran pada mereka, adalah dialu-alukan. Berbanding dengan kumpulan hafazan yang lain, Iqra sangat mengambil berat dari segi tajwid dan mahgraj huruf pada ayat-ayat Al-Quran. Kita perlulah membetulkan bacaan sebelum menghafalnya, dan pastinya kita tidak mahu menghafal dengan bacaan yang salah. Kadang-kadang, Iqra sendiri meminta agar adik-adik hafizah membacakan bacaan mereka kepadanya sebelum proses menghafal dijalankan.

Semua adik-adik hafizah yang lain senyap dan mendengar bacaan Iqra dengan penuh tumpuan. Apabila selesai, Iqra bertanya pada Allysa sekiranya terdapat apa-apa kesalahan dalam hafalannya.

"Alhamdulillah. Rasanya semua ok..." Jawab Allysa.

"Alhamdulillah. Kalau Allysa tak dapat ingat, cuba tengok pada maksud ayat-ayat dalam surah ini. Ustazah sangat suka surah ni. InsyaAllah, Allysa boleh hafal. Baiklah, teruskan usaha." Ujar Iqra pada Allysa dan yang lain. Allysa hanya tersenyum dan kembali ke tempatnya.

MasyaAllah, doa Iqra agar semuanya dipermudahkan. Proses mengahafal al-Quran memerlukan mujahadah yang sangat tinggi. Dan kini, Allah menguji dirinya untuk berada di tempat pentasmi', seorang yang sangat penting dalam memotivasikan adik-adik hafizah ini. Iqra mencapai pen dan buku untuk meneruskan proses hafalannya sendiri.

Surah At- Tatfif agak sukar untuk dihafal. Iqra telah beberapa kali mendengar bacaan qari kegemarannya untuk membantu proses hafalannya. Ternyata, dia perlu menulis setiap ayat dan menghafalnya. Iqra sangat suka menghafal setiap ayat bersama penghayatan pada maknanya. Agar dia tahu apakah maksud ayat yang diperdengarkannya kepada orang lain. Selain itu, setiap ayat memberi pengajaran dan teguran buatnya. Bagaikan kisah terindah pujukan firman dari Allah. Dirinya sentiasa diuji tatkala mengatur langkah mencari redhaAllah, jalan dakwah yang disediakan dengan duri-duri dan bukannya karpet merah. Perjuangan yang sentiasa menuntut pengorbanan seorang muslim mencapai cinta Allah. Dan Al-Quran dicari sebagai penenang dan penghibur, tatkala berkumandang jua kalimah-kalimah Allah itu di hati kecilnya.

'Bismillah', Iqra mulakan. Tatkala tangannya menulis penuh khusyuk, matanya tepat melihat bait-bait terjemahan Surah Al-Mutaffin. Hatinya tak henti-henti memuji Allah, mengenangkan kebijaksaanNya dalam kurniaan Al-Quran. Dalam kalimah-kalimah cinta Allah penuh dengan pujukan dan amaran. Sehingga sampai ke beberapa ayat, Iqra terhenti seketika;

'Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan hari pembalasan.'

'Dan tidak ada yang mendustakan hari pembalasan itu melainkan setiap orang yang melampaui batas lagi berdosa,'

'yang apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, ia berkata, "Itu adalah dongengan orang-orang yang dahulu",'

'Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.'

'Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka pada hari itu benar-benar terhalang dari (melihat) Tuhan mereka.'

'Kemudian sesunguhnya mereka benar-benar masuk neraka.'

'Kemudian dikatakan (kepada mereka), "Inilah azab yang dahulu selalu kamu dustakan'

(Surah At-Taffif: 10-17).

Terlepas pen yang dipegang dari tangan Iqra yang menggeletar, tatkala ketika itu, hatinya beristighfar panjang memohon ampunan daripada Allah. Persoalan demi persoalan melintas dalam kotak pemikiran Iqra.

'Adakah aku di antara golongan yang diperkatakan ini? MasyaAllah, diri ini sedar bahawa melihat Allah adalah nikmat terbesar bagi seorang manusia, dan rugilah diri ini andai cita-cita itu tidak tercapai. Adakah permintaan dan keinginanku ini akan dinafikan tatkala tiba masa untuk berjumpa denganNya?'

Iqra duduk cuba menenangkan dirinya. Pada Allah pohonan kasih, harapan, ampunan, rindu dan doa dipanjatkan. Buat diri hamba yang banyak melakukan dosa dan selalu mengundang murkaMu. Semoga cita-cita untuk melihat wajahNya tercapai satu hari nanti. Satu hari nanti...

Pandangannya melayang pada adik-adik hafizah yang sedang khusyuk menghafal al-Quran sehingga tidak sedar dengan keadaannya yang kealpaan. Iqra menyedari akan tugasnya sebagai khalifah di muka bumi menegakkan kalimah tauhid 'Lailahailallah' bersama dengan para pejuang Islam yang lain. Kerana cinta Allah yang didamba, tanda cintanya pada kekasih Yang Satu.

"Zzzzzz...Zzzzzz. " Telefon Iqra bergetar dalam mode 'vibrate'. Satu pesanan ringkas masuk ke dalam 'inbox'.

'Dari Ukhti Zainab Jahsy. MasyaAllah, rindu ana pada ukhti...' Iqra membaca pesanan ringkas kiriman ukhti habibati jannah yang dikasihi:

" Kita bertemu atas dasar AQIDAH yang satu, menaung di bawah bendera LailahaillALLAH, hati kita diikat UKHWAHfillah, membawa MISI ALLAH di dunia, jual DUNIA untuk AKHIRAT... wahai bidadari berhati mujahidah, sematkan KITABULLAH wa SUNNAH di hatimu, kilaukan pedang JIHAD di tanganmu, biarkan musuh-musuh dan Taghut itu gentar, agar SYAHID jadi kafanmu, agar suatu hari tiba saat malaikat, burung-burung suci, kasturi mewangi mengiringi Ruhmu, pergi mendapatkan RABBmu nun di Taman Hijau Tertinggi."- ana merinduimu wahai mujahidah pencinta kalam furqan.

Iqra yang tadi cuba untuk menahan air mata dek firman Allah, kata-kata sahibah yang terkesan di hati lagi dirindui hanya menjadikan usaha itu tidah berhasil.

"Ustazah? Kenapa dengan ustazah?" Tanya Nur Aisyah.

"Takde apa-apa. Ustazah ke bilik air sekejap, ya?" Pinta Iqra lalu bangun meninggalkan halaqahnya seketika. Dia cuba sedaya upaya agar air mata yang mula bertakung tidak menitik ke pipinya. Kaki melangkah dengan laju ke ruang mengambil wuduk. Iqra duduk sendiri mencari kekuatan dalam dirinya.

'Ya Allah, ku mohon kekuatan, ketabahan, kesabaran, kesihatan dan ilmu pengetahuan, Ya Allah. Permudahkanlah untukku mempelajari dan menghafal Al-QuranMu. Ana mohon terlalu banyak ampunan dariMu, Allah. Semoga ana dapat melihat wajahMu di akhirat nanti. Ameen...ameen..ameen...'

Iqra memperbaharui niat dan wuduk seterusnya melangkah kembali ke ruang surau Al-Firdaus. Kembali menyertai perjuangan penuh mujahadah mencari cinta Allah...

Bersambung...

0 comments: